Monday, November 9, 2009

Bapa pancing udang galah hilang lepas bot terbalik

TELUK INTAN: Kegembiraan tiga beranak memancing udang galah di Sungai Perak berhampiran Jalan Maharaja Lela, dekat sini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik dipukul ombak, petang semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa hanya dikenali sebagai Lim, 58, memancing udang galah di sungai terbabit bersama dua anak lelakinya, Ong Kean Teck, 30, dan Ong Kean Soon, 32, di atas bot yang disewa mereka.Bagaimanapun, angin kencang dan ombak besar yang datang tiba-tiba menyebabkan bot dinaiki tiga beranak itu terbalik. Kean Teck dan Kean Soon berjaya berenang ke tebing sebelum diselamatkan beberapa orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian manakala bapa mereka hilang dihanyutkan arus sungai.Saksi, Tan Kin Chuan, 27, berkata ketika kejadian dia bekerja di kawasan berhampiran apabila terdengar orang menjerit meminta tolong.“Saya berlari ke tebing sungai dan terkejut melihat dua lelaki berhempas-pulas berenang ke tebing manakala terdapat sebuah bot terbalik di tengah sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam semalam.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika mengesahkan kejadian itu berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Teluk Intan dan Polis Marin sejurus menerima laporan kira-kira jam 7 malam.“Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 8 malam kerana cuaca gelap sebelum disambung jam 7 pagi esok (hari ini),” katanya.

No comments: